BERITA penggantungan bekas ‘panglima
perang’ pasukan bola sepak Hijau Kuning, Datuk Ahmad Basri Akil (yang saya
baca pada akhbar bertarikh 15 Mac 2001) tidak sedikitpun memeranjatkan, malah
sudah dijangka sebegitu rupa. Hanya kekerasan tindakan itu yang
dinanti-nantikan.
Justeru, saya ucapkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana
bertindak tegas terhadap Ahmad Basri yang dilaporkan celupar terhadap pihak
tertentu dalam pentadbiran FAM. Dengan tindakan itu, FAM menukul paku terakhir
pada keranda yang disifatkan sebagai bola sepak Malaysia.
Tindakan terhadap Ahmad Basri, seorangnya supremo bola sepak yang masih
bertahan akan melenyapkan peluang yang terakhir untuk memulihkan sukan popular
itu di negara ini.
Ribuan anak muda di negara ini berbakat dan mereka masih meminati sukan itu
biar pun apa yang berlaku di FAM, terutama mereka yang memegang jawatan yang
seperti tidak mahu berbuat sesuatu untuk memulihkan kembali pencapaian sukan
itu.
Saya sifatkan sukan bola sepak kita terkebelakang bukan satu, dua atau tiga
tahun, malah mungkin lima atau 10 tahun.
Baru-baru ini saya mendengar jenaka yang disebutkan sebagai ‘lawak FAM!’.
Bunyinya seperti berikut:”... pada satu perlawanan antarabangsa, pasukan
lawan tidak akan bertanya bolehkah dikalahkan Malaysia atau tidak, sebaliknya
akan bertanya berapa gol boleh disumbat ke dalam gawang Malaysia, kerana
menurut mereka bola sepak baru saja diperkenalkan di Malaysia” Ini mungkin
lawak, tetapi selepas meneliti perkembangan mutakhir bola sepak kita, ia ada
kebenarannya.
Saya tidak mahu mengulas panjang kerana saya yakin pembaca tentu arif penyakit
barah yang menyelubungi FAM sejak sekian lama. Itulah sebabnya ribuan peminat
bola sepak Malaysia bertukar selera dengan mengikuti perkembangan Liga
Inggeris, Serie A dan pelbagai lagi untuk mendekatkan diri mereka kepada sukan
bola sepak yang mereka minati kerana apa yang mereka lihat di Malaysia begitu
ketinggalan.
Ratusan malah ribuan perkataan sudah ditulis oleh pelbagai pihak, termasuk
wartawan sukan mengenai sukan bola sepak yang kini kelihatan lebih artificial
daripada kenyataan. Malah, wartawan Fauzi Omar yang tulisannya selalu saya
ikuti seketika dulu sudah tidak lagi menukil rasa dan pandangan mengenai bola
sepak Malaysia kerana saya yakin beliau kecewa, hiba, sedih dan hampa dengan
apa yang dulunya disifatkan sebagai bola sepak. Sudah hilang sebutir permata
dalam sukan bola sepak Malaysia berikutan layangan kad merah ke Ahmad Basri.
Berikutnya mungkin ada beberapa lagi kad merah yang akan dilayangkan. Namun,
bola sepak Malaysia tetap hancur.
Yang saya pelik tiadakah terasa apa-apa yang janggal dalam diri mereka yang
kini menguruskan FAM. Dulu ada ura-ura mahu bersara, tetapi bak episod sedih
dan hambar wayang politik, pihak yang mengacah hendak meletakkan jawatan terus
berada di situ. Malah gandingan sama sejak berkurun-kurun lamanya masih kukuh
di tampuk pemerintahan FAM.
Saya tidak menjangka tulisan ini akan menggerakkan apa-apa di FAM kerana saya
faham bahawa siapa yang hendak meninggalkan jawatan di FAM begitu saja. Hanya
mereka yang hilang akal akan berbuat demikian. Masakan tidak, kerana FAM
adalah badan sukan yang paling berprestij, paling kaya kantungnya, paling
gemar didekati penaja dan paling terkenal di Malaysia, lantaran sebab yang
tiada kena-mengena dengan pembangunan sukan bola sepak!
Bayangkanlah selaku ahli majlis FAM, setiap mereka akan diberi pelbagai
keistimewaan, termasuk tiket kelas pertama (sekurang-kurangnya kelas ekonomi)
untuk setiap penerbangan, penginapan kelas pertama, layanan dan hiburan kelas
pertama, liputan akhbar kelas pertama dan pelbagai lagi turut bersifat kelas
pertama. Kalau ahli majlis biasa sudah begitu, bagaimana pula yang berjawatan
presiden, timbalan presiden dan setiausaha?
Semuanya bersifat kelas pertama tetapi sukan itu sendiri yang meletakkan
mereka di situ hanya bersifat bahana.
Bandingkan dengan status itu, misalnya Kelab Bola sepak Kampung Anak Bukit di
Alor Star Kedah yang saya turut terbabit menubuhkan dan menyimpan cita-cita
agar satu hari kami akan melahirkan bintang bola sepak negara seperti Akmal
(juga anak kampung kelahiran Kedah) yang baru pulang dari mengasah bakatnya di
Perancis dan bintang baru seperti Titus Paul.
Kita hanya boleh melahirkan mereka setiap hari, namun kalau pentadbiran sama
di FAM masih berkuasa dan berterusan berkuasa kononnya atas nama mentadbir dan
memajukan bola sepak di Malaysia, malanglah sekali masa depan bola sepak kita!
Ini adalah kenyataan.
Berbalik kepada Ahmad Basri yang saya sifatkan sebagai “Bapa Bolasepak Moden
Malaysia”, mungkin mereka tidak tahu apa yang ada dalam diri beliau. Sifat
manusia begitulah, kita tidak tahu apa yang kita ada hingga tidak memilikinya
lagi. Kalau hari ini beliau beralih angin, misalnya ke negara lain, contohnya
kepulauan Pasifik seperti Fiji, Vanuatu dan banyak lagi negara yang baru
mencapai kemerdekaan dan ingin mempertingkatkan perpaduan rakyat menerusi
sukan rakyat, lantaran sukan bola sepak saya percaya beliau akan dihargai dan
dinanti-nantikan sentuhannya.
Saya tidaklah mengenal secara dekat Ahmad Basri, namun yang mendekatkan saya
dengan beliau adalah bola sepak yang menjadi ‘keghairahan’ bersama kami
dan ribuan lagi peminat sukan ini di Malaysia. Saya tidak boleh lupa sampai
bila-bila, bagaimana kami secara tidak sedar mengalirkan air mata kegembiraan
di Stadium Merdeka pada 1991 selepas Kedah menjulang Piala Malaysia untuk
pertama kali selepas berhempas pulas selama empat tahun sebelum itu (kerana
menjadi Naib Juara pada 1987, 1988 dan 1989, jatuh ke Divisyen II pada 1990
dan terus menjadi juara Divisyen Dua dengan rekod tanpa kalah) yang semuanya
berakhir dengan kehampaan.
Kami berpeluk keriangan, menitis air mata gembira selepas berkunjung ke Kuala
Lumpur secara berkonvoi, berkampung di pekarangan stadium, masuk ke stadium
pada jam 4.30 petang, pada hal perlawanan hanya akan bermula pada jam 8.30
malam (ada tahunnya kami kuyup selama beberapa jam dalam hujan lebat untuk
mendapat tempat duduk terbaik di tangga ayam di teres Victoria Institution)
dan pulang dengan penuh kehampaan apabila hanya bergelar naib juara selama
tiga tahun berturut-turut.
Namun, apabila Kedah Juara, kami berada di Kuala Lumpur hingga pagi esoknya
tidak tidur, meraikan pemain di Hotel Mirama, berkenduri, dan bersyukur ke
hadrat Allah kerana mengizinkan pasukan kami menjuarai Piala Malaysia dan
pulang untuk menantikan wira kami di Lapangan Terbang Kepala Batas, Alor Star.
Ketika itu, bola sepak Malaysia dikatakan menuju zaman kebangkitan. Namun,
mimpi indah itu dicemari dengan zaman kemerosotan bola sepak dari ketika itu
hinggalah sekarang tak kunjung padam.
Ketika itu, saya dan rakan berpendapat bahawa kebangkitan bola sepak Malaysia
bukan kerana FAM tetapi kerana insan bernama Ahmad Basri.
Namun, kita juga sedia maklum apa yang berlaku di Kedah selepas pemerintahan
baru sejak 1996 kerana Ahmad Basri disingkirkan secara perlahan-lahan dan
namanya juga ingin dipadam daripada persada bola sepak Kedah.
Disebabkan politik, bola sepak hancur dan yang menjadi mangsa ialah anak-anak
muda yang masih menyepak bola sepak di kampung dan desa. Juga kerana politik,
program jangka panjang bola sepak yang diilhamkan beliau berkubur tanpa nesan.
Sebagai manusia Ahmad Basri mungkin mempunyai kelemahan tertentu namun, hari
ini beliaulah satu-satunya peluang yang kita ada untuk menyelamatkan bola
sepak yang selalunya disifatkan sebagai maruah negara! Dengan menutup mulut
Ahmad Basri selama-lamanya (kerana beliau sudah menyatakan hasrat untuk
bersara sepenuhnya daripada bola sepak), maka peluang sekumit yang ada pada
tangan kita sudah dileburkan.
VALENTENO
Anak Bukit, Alor Setar,
Kedah.